LEBIH 200 peserta memeriahkan acara Fun Run sempena majlis penutup sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-68 anjuran Sektretariat Rukun Negara (SRN), Lincoln University College (LUC) di sini, hari ini.

Peserta dilepaskan pada kira-kira jam 8.15 pagi di pekarangan LUC dan berlari kira-kira dua kilometer mengelilingi Stadium MBPJ.

Keseronokan terpancar di wajah peserta termasuk yang memakai busana tradisional dan pakaian unik.

Acara larian itu dirasmikan oleh Pro-Canselor LUC, Prof. Datuk Dr. Bibi Florina Abdullah. 

Turut hadir Pengasas dan Presiden LUC, Dr. Amiya Bhaumik, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif LUC, Datuk Dr. Mohd Yusoff A. Bakar, Timbalan Naib Akademik LUC, Prof. Datin Dr. Hafizah Che Hassan dan Pendaftar LUC merangkap Penasihat Sekretariat Rukun Negara LUC, Mohd Nikmat Wahib.

Majlis penutup sambutan Bulan Kemerdekaan itu adalah anjuran SRN LUC dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara.

Selain larian, acara turut dimeriahkan dengan jualan minuman dan makanan anjuran pelbagai fakulti LUC.

Ketika berucap, Dr Bibi berkata, semangat patriotik yang ditonjolkan dalam kalangan pelajar dan kakitangan organisasi itu terserlah ketika mengambil bahagian dalam larian berkenaan.

“Kita harus bekerjasama untuk memastikan suasana harmoni ketika bekerja dan menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Selain itu, Dr. Amiya pula menyampaikan hadiah kepada pemenang larian dan pertandingan hiasan, syair, poster, TikTok dan nyanyian sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan muncul juara pertandingan hiasan, kedua Sekolah Pergigian dan ketiga ialah Sekolah Perniagaan dan Pengurusan. 

Mohamad Hazlee Roslee dari Sekolah Pergigian meraih tempat pertama pertandingan syair, kedua (Iman Zafri Zai Izzuddin Sham – Sekolah Farmasi) manakala tempat ketiga dimenangi Aisyah Ahmad Riza (Sekolah Kejururawatan).

Tidak ketinggalan, pertandingan TikTok dimenangi Amir Shafiq dari Pusat Akademik dan Pembangunan Kualiti, kedua (S.Hajar – Sekolah Kejururawatan) manakala tempat ketiga dimenangi Norafizah Shafika Pudah (Sekolah Kejururawatan).

Nayab dari Jabatan Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL), muncul juara pertandingan nyanyian, Fitrisya Balqis Roshidin dan Siti Adriana Saffiyah Abdul Jalal (Sekolah Kejururawatan) meraih tempat kedua dan Aina Jemat & The Group tempat ketiga.

Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemuramah menyifatkan acara Fun Run berkenaan menarik dan menyeronokkan selain menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan.

Pelajar semester dua Sekolah Perubatan, Zarif Zakwan, berkata dirinya bersemangat ketika menyertai larian itu biarpun jaraknya dekat.

Bagi Prescena Francis pula, Fun Run berkenaan dapat menyemai kesedaran berkaitan kepentingan menyambut Hari Kebangsaan.

Christy Vieviedna Robert pula berkata, golongan muda terutama pelajar harus memahami pengertiaan sebenar di sebalik sambutan Hari Kebangsaan.

J. Jeevashini berkata, dirinya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada kemeriahan acara larian itu.